Tuesday, 3 May 2011

Hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-20 2011

Edisi ke-20 Piala Sultan Azlan Shah akan bermula esok hingga 15 Mei 2011. Berdasarkan kepada rekod kejohanan, Malaysia belum pernah muncul juara kejohanan yang mula diperkenalkan pada tahun 1983. Pencapaian terbaik Malaysia pada tahun 2007 dan 2009 apabila muncul naib juara.

Pada tahun lalu, Malaysia hanya mampu berada di tempat ke-4 apabila tewas kepada Australia 3-5 pada perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4. Pada edisi lalu, India dan Korea Selatan dinobatkan juara bersama apabila perlawanan akhir tidak dapat dijalankan akibat hujat lebat.

Pada edisi kali ini sebanyak 7 pasukan yang akan bertanding iaitu juara 5 kali India, Korea Selatan, juara 3 kali Pakistan, juara 5 kali Australia, New Zealand, Great Britain dan tuan rumah Malaysia.
Pasukan Malaysia di bawah bimbingan Tai beng Hai mengekalkan 14 pemain yang meraih pingat perak Sukan Asia 2010, November lalu dan memasukkan 4 pemain baru bagi mengisi slot 18 pemain yang perlu didaftarkan. Beng Hai menghadapi masalah dalam menyenaraikan skuad Piala Sultan Azlan Shah kali ini apabila ramai pemain-pemain yang mengalami kecederaan antaranya pakar pukulan sudut penalti Mohd Amin Rahim dan seorang pemain muda Azmin Rizal. Amin dipercayai baru pulih daripada kecederaan dan Beng Hai tidak mahu mengambil risiko dan mahu Amin berehat secukupnya.

Pada perlawanan persahabatan pertama menentang New Zealand, Ahad lalu, Malaysia berjaya mengikat pasukan Kiwi itu dengan jaringan 2-2, walaupun Malaysia ketinggalan 0-2 pada satu ketika. Namun pada perlawanan kedua persahabatan menentang Pakistan, pemenang pingat emas Sukan Asia 2010, semalam, Malaysia tewas 2-4. Menurut Beng Hai, beliau tidak mengambil serius dengan kekalahan itu kerana masalah pasukan negara sekarang adalah penyerang 'bersikap malu' di depan gwang lawan.

Perlawanan pertama Malaysia adalah menentang Great Britain, pada 5 Mei 2011, jam 8:05 malam dan seterusnya Australia pada 6 Mei 2011. Perlawanan ketiga Malaysia menentang India pada 9 Mei 2011, diikuti New Zealand pada 11 Mei 2011, Korea (12 Mei 011) dan perlawanan terakhir bertemu Pakistan pada 14 Mei 2011.

Kesemua perlawanan yang melibatkan Malaysia akan disiarkan secara langsung di saluran 801 Astro Arena. Sebanyak 19 perlawanan akan disiarkan secara langsung termasuk akhir pada 15 Mei 2011.
Sama-sama kita memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan pada kejohanan kali ini. Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Ipoh.

Blog ini akan sedaya upaya memberi laporan terkini perlawanan sepanjang kejohanan ini. Insya allah.

No comments:

Post a Comment