Tuesday, 3 May 2011

Saingan Liga Super 2011


Setelah mengharungi 17 perlawanan, saingan Liga Super 2011 semakin sengit, terutamanya tiga pasukan teratas, iaitu Kelantan, Selangor dan Terengganu. Kelantan di tangga teratas liga berkongsi 36 mata, hanya dibezakan dengan jaringan manakala Terengganu mengekori rapat dengan 35 mata.

Perlawanan ke-18 pada hari Sabtu ini akan menyaksikan perubahan liga sekiranya salah satu daripada tiga pasukan di atas mengalami kekalahan atau seri. Kelantan yang akan menerima kunjungan Kedah, pasukan yang selalu memberi masalah kepada mereka, di Kota Bharu. Selangor akan melayan Johor FC di Shah Alam dan Terengganu bertemu Kuala Lumpur. Di atas kertas, Selangor dan Terengganu tidak mempunyai banyak masalah untuk mendapat 3 mata penuh dan Kelantan sudah pasti tidak mahu keciciran mata kerana Kedah pernah mengecewakan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sebelum ini.

Bagi perlawanan-perlawanan lain, Perak yang tewas kepada Negeri Sembilan semalam akan berhadapan dengan Pahang, di Ipoh. Prestasi skuad Seladang akhir-akhir ini membimbangkan Cikgu Jan (Norizan Bakar). Barisan hadapan kelihatan tumpul walaupun dibarisi Akmal Rizal dan Razali Umar Kandasamy, yang sebelum ini kelihatan serasi di hadapan pintu gol lawan. Walau bagaimanapun, skuad Pahang di bawah bimbingan Dollah Salleh akan mencuri satu mata di Ipoh hari Sabtu ini setelah gagal mendapat 3 mata penuh di Kuantan ketika bertemu KL Felda United.

Setelah mendapat motivasi pada perlawanan semalam, Negeri Sembilan akan terbang ke Kota Kinabalu bagi menentang Sabah di sana. Kemenangan ke atas Perak 3-1 semalam telah menunjukkan kemajuan yang ketara pada pasukan Hoben Jang Hoben ini. Percaturan Azrai Khor kelihatan menjadi di mana Shukor Adan yang kembali kepada posisi asal beliau di bahagian tengah telah berjaya mememrangkap pergerakan lawan seterusnya mencipta peluang kepada penyerang seperti Shahurain dan Firdaus menghasilkan gol. Selain itu, kembalinya semula Hairuddin Omar pada perlawanan semalam, telah menghasilkan 2 gol yang mudah dan membakar semangat rakan pasukan untuk terus mengekalkan rentak hingga ke wisel penamat.

Terdapat satu perlawanan pada hari Jumaat ini iaitu antara KL Felda United dan Harimau Muda A. Skuad Harimau Muda A yang sepatutnya bertemu dengan T-Team malam tadi terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat. Manakala T-Team akan bertemu pasukan tercorot liga, Perlis di kangar. Dengan kembalinya Yunus Alif sebagai ketua jurulatih selepas direhatkan dua perlawanan, diharap T-Team akan menemui semula rentak mereka. Kedudukan mereka di tangga ke-10 liga tidak sepatutnya mereka perolehi kerana skuad ini dibarisi oleh gabungan pemain-pemain berpengalaman seperti Indra Putra, Norfarhan, Azizi Mat Rose dan Rosdi Talib. Namun entah di mana silapnya, pasukan berstatus kelab ini gagal menyerlah pada musim ini.

Apa pun perlawanan-perlawanan yang bakal diharungi oleh kesemua pasukan adalah sengit dan padat sepanjang bulan Mei ini sebelum mereka berehat panjang bagi memberi laluan kepada skuad Harimau Muda dan Harimau Malaysia menghadapi kelayakan Pra-Olimpik 2012 dan Piala Dunia 2014.

No comments:

Post a Comment